Salam.
Tidak banyak berita kita dengar mengenai kejadian yang menimpa Marwa el-Sherbini , seorang wanita Mesir berusia 32 tahun yang ditikam 18 kali di dalam mahkamah Jerman. Paling menyayat hati, Marwa ketika itu sedang hamil dan berada di mahkamah bagi mempertahankan aurat beliau dan keagungan Islam. Suami Marwa turut ditembak ketika cuba menyelamatkan beliau.
Saya ada juga menerima beberapa e-mel yang di forward kepada saya mengenai Marwa. Saya tidak berkesempatan untuk menulis mengenai Marwa di blog . Bukan tidak mahu, tetapi sumbernya tidak banyak.
Berita mengenainya tidak disiarkan secara meluas sebagaimana kematian Michael Jackson. Atau, mungkin berita kematian Michael Jackson terlalu besar sehingga mengaburi segala berita mengenai Marwa.
Pun begitu, hari ini saya tahu saya perlu membuka posting mengenai Marwa. Ini adalah kerana artikelnya disampaikan oleh seorang sahabat yang pada masa ini berada di Jerman. Memandangkan sukar mendapat kisah sebenar dari akhbar-akhbar Jerman, saya kira coretan yang dikongsikan bersama ini boleh memberi kita gambaran sebenar mengenai apa yang berlaku di sana.
Wallahu’alam..
Catatan ringkas ini ditulis buat teman-teman di tanah air yang banyak menanyakan berita ini...
Kisah ini berlaku di Dresden, sebuah kota yang terletak di bahagian Timur Germany. Kota Dresden ini didirikan oleh bangsa Slavia pada tahun 1206 yang bersempadan dengan Chech dan Poland. Jarak dari Berlin, tempat kami tinggal dengan Dresden cuma 200 km sahaja. Walaupun begitu peratus penduduk warga asing dicatatkan masing-masing sebagai Berlin 14% dan Dresden 4%. Dresden dinobatkan sebagai salah satu bandar terhijau di Eropah, dengan 63% diliputi oleh hutan dan kawasan hijau. Sayangnya, kota yang segar ini telah bermandikan darah dari seorang wanita yang tidak berdaya...
***********
Kisahnya bermula pada Ogos 2008 di sebuah taman permainan di daerah Johannstadt, Dresden. Ketika itu, Marwa membawa anaknya Mustafa keluar bermain seperti kebiasaannya. Setelah lama bermain, akhirnya si anak meminta ibunya untuk bermain buaian yang waktu itu sedang dinaiki oleh seorang budak dan sebuah lagi oleh Alexander W, seorang penganggur warga German berketurunan Rusia. Lantas Marwa menyapa meminta izin untuk anaknya bermain buaian. Tetapi permohonan santun itu dibalas dengan penuh cacian dan kemarahan. Bukan sahaja Marwa dimaki sebagai pelacur, teroris, bahkan lelaki berbadan gempal itu berusaha menanggalkan tudung yang dipakai rapi oleh Marwa. Cacian dan makian lelaki ini tidak berakhir di situ tetapi berlanjut untuk hari-hari kemudiannya.
Marwa dan suaminya akhirnya menuntut keadilan, lalu membawa kes ini ke muka pengadilan German. Alex telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak €780 atas kesalahan menghina dengan kata-kata kasar dan hasutan perkauman. Ternyata hukuman ciptaan manusia itu tidak dapat mencegah dari berulang perbuatan yang sama atau memadamkan perasaan benci lelaki itu tadi. Alex menyimpan dendam penuh kebencian dari hari ke hari... Akhirnya, pada 1 July 2009 seisi langit dan bumi menjadi saksi akan syahidnya seorang wanita berjiwa mulia lagi berani demi mempertahankan haknya memakai jilbab... Marwa yang tika itu sedang hamil 3 bulan, gugur hanya kerana selembar kain yang dipakai di atas kepala...
Di pagi 1 Julai itu, ruang sidang yang kecil itu hanya dihadiri oleh beberapa orang bahkan tiada polis yang bertugas di sekitar ruangan kerana kes ini bukan kes besar, hanya sebuah sebutan semula kes pengaduan Marwa terhadap penghinaan yang diterimanya. Polis yang membawa masuk Alex ke ruang sidang terus keluar selepas itu. Tatkala giliran Marwa memberikan kesaksian terhadap penghinaan dan gangguan Alex kepadanya, tiba-tiba lelaki itu bangun berlari ke arah Marwa lantas membenamkan pisau ke tubuhnya sambil berteriak 'Kamu tidak layak untuk hidup'. Bukan sekali, bukan dua kali, bukan tiga kali, tetapi 18 kali! 18 tikaman selama 8 minit tanpa interupsi di sebuah mahkamah, tempat mendapat keadilan menurut undang-undang manusia bertamadun di sebuah negara maju! Ya Allah...
Tika semua disitu terkejut dan dalam suasana riuh itu, tiada siapa yang datang membantu. Suaminya, Elwi Ali Okaz berluru kehadapan untuk mempertahankan isterinya. Bahkan beliau turut cedera dengan beberapa tikaman. Jeritan dan teriakan orang disitu akhirnya didengar oleh polis yang segera datang. Tambah kusut, yang ditembak adalah Ali dan bukan Alex! Ya Rabbi, apakah kerana mereka 'tersilap' atau kerana menyangkakan Ali itulah penjenayah si teroris yang berwajah Arab!! Dan semua itu, teman-temanku disaksikan oleh Mustapa, anak comel yang baru berusia 3 tahun.... Gugurlah seorang wanita syahid mempertahankan maruahnya. Suaminya yang cedera parah pula dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal dan koma 3 hari.
Berita ini mengambil masa 2 hari sebelum ianya dipaparkan di dada akhbar tempatan. Itupun tajuknya yang tidak menggambarkan perkara pokok yang menjadi isu, 'pergaduhan bermain buaian' atau 'mahkamah perlu dipertingkatkan keselamatan'. Kerajaan German pula mengambil masa 10 hari untuk mengeluarkan penyataan maaf kepada keluarga mangsa. Masih teringat sejarah silam, dimana seorang khalifah menghantar bala tenteranya ke sebuah tempat kerana mereka mengganggu maruah seorang wanita Islam. Berbahagialah Marwa yang beroleh anugerah besar, syahid di jalanNya. Berbahagialah Marwa yang disembahyangkan oleh ribuan orang di seluruh dunia. Berbahagialah Marwa yang jenazahnya menjadi rebutan untuk diusung..
***********
Kita sedih..
kita kesal..
kita marah..
kita kasihan...
tetapi jangan biarkan kesedihan kita setakat ini sahaja..
Sampaikan pada anakmu..
sampaikan pada keluargamu..
sampaikan pada temanmu...
bahawa tudung yang dipakai ini,
bukan kerana adat ikut-ikutan...
bahawa tudung yang dipakai ini..
jangan sampai hari demi hari makin 'berkurang' kerana arus fesyen...
bahawa tudung yang dipakai ini, jangan sekali dilucutkan hanya untuk menyemat sekuntum melur disanggul pada hari persandinganmu...
Moga kita beroleh naungan dihari tiada naungan selain naunganNya.
Salam hormat buatmu Marwa,
dari seorang Mardhiyah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan