.: Suka Kami :.

.: Silent Followers :.

14 Mei 2011

Sepuluh Soalan untuk Saidina Ali bin Abi Talib سيدنا علي كرّم الله وجهه


Sepuluh Soalan untuk Saidina Ali bin Abi Talib سيدنا علي كرّم الله وجهه


Pada suatu hari, sepuluh orang dari kaum Khawarij bertemu dengan Saidina Ali bin Abi Talib untuk bertanyakan beberapa soalan. Walau bagaimanapun, mereka sebenarnya bertujuan untuk menguji kehebatan Ali sama ada ia bertepatan dengan satu hadith Nabi iaitu: “Aku ini kotanya ilmu pengetahuan, dan Ali adalah sebagai pintunya.”

Sebaik sahaja bertemu Saidina Ali, mereka dilayan dengan begitu baik. Salah seorang dari mereka kemudian membuka mulut dan berkata, "Wahai Ali, kami yang datang seramai sepuluh orang ini adalah dihantar oleh kaum kami untuk mengajukan pertanyaan kepadamu. Kami akan bertanya secara bergilir-gilir dan jawapan yang kamu berikan itu akan kami bawa pulang kepada kaum kami."

“Baiklah, apakah soalannya?" Saidina Ali kemudian menjawab.

“Wahai Ali, yang manakah lebih mulia, ilmu pengetahuan atau harta benda, dan apakah sebabnya?” tanya orang pertama.

Lalu Saidina Ali menjawab, “Ilmu pengetahuan itu adalah warisan para nabi, sedangkan harta kekayaan adalah warisan daripada Qarun, Syadad dan lain-lain. Oleh kerana itu, ilmu pengetahuan lebih mulia daripada harta benda.”

Kemudian orang kedua pula bertanya, “Manakah yang lebih mulia, ilmu pengetahuan atau harta benda, dan jelaskan sebab-sebabnya?"

“Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana ilmulah yang menjaga dan memelihara pemiliknya, sedangkan harta, si pemiliknya lah yang memelihara dan menjaganya,” jawab Saidina Ali.

Setelah Saidina Ali berjaya menjawab soalan daripada orang pertama dan kedua, orang ketiga, keempat, kelima, hingga kesepuluh bergilir menanyakan soalan, sama seperti yang diajukan oleh orang pertama dan kedua.

Kepada orang yang ketiga, Saidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana orang yang berilmu banyak sahabatnya, sedangkan orang yang banyak hartanya lebih banyak musuhnya.”

Kepada orang yang keempat, Saidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu bila disebarkan atau diajarkan akan bertambah sedangkan harta kalau diberikan kepada orang lain akan berkurangan.”

Kepada orang yang kelima, Saidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana ilmu tidak dapat dicuri, sedangkan harta benda mudah dicuri dan dapat lenyap.”

Kepada orang yang keenam, Saidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu tidak akan rosak binasa, sedangkan harta kekayaan boleh lenyap dan habis akibat masa dan usia.”

Kepada orang yang ketujuh Saidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu tidak ada batasnya, sedangkan harta benda ada batasnya dan dapat dihitung jumlahnya.”

Kepada orang yang kelapan Saidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu memberi dan memancarkan sinar kebaikan, menjernihkan fikiran dan hati serta menenangkan jiwa, sedangkan harta kekayaan pada umumnya dapat menggelapkan jiwa dan hati pemiliknya.”

Kepada orang yang kesembilan Saidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana orang yang berilmu mencintai kebajikan dan kata-katanya mulia seperti orang yang warak, sedangkan orang yang berharta boleh menjadi melarat dan lebih cenderung kepada sifat-sifat kikir dan bakhil.”

Akhirnya kepada orang yang kesepuluh Saidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia dan lebih utama daripada harta kekayaan kerana orang yang berilmu lebih terdorong untuk mencintai Allah, sedangkan harta benda hanya membangkitkan rasa sombong, bongkak dan takbur.”

Kemudian Saidina Ali menyambung dengan membaca ayat Al-Quran dari Surah Al Mujaadilah (58:11) yang bermaksud: “Allah akan meninggikan orang yang beriman diantaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Sepuluh orang kaum Khawarij itu menjadi kagum kerana satu pertanyaan mereka dapat dijawab oleh Ali dengan sepuluh jawapan yang berbeza. Selepas itu, mereka pulang menemui kaum mereka ddengan perasaan puas serta bertambah yakin bahwa Khalifah Ali benar-benar seperti yang dikatakan oleh Nabi, iaitu sebagai pintu gerbang ilmu.

-- والله أعلام --

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

comment

.:Tinggalkan Jejak Anda :.